EKSA 2024:  BERAT SAMA DIPIKUL RINGAN SAMA DIJINJING

EKSA 2024

BERAT SAMA DIPIKUL RINGAN SAMA DIJINJING

SINTOK 24 Jan. Seramai 61 orang staf Jabatan Bendahari terlibat dalam gotong-royong Jabatan sebagai sebahagian daripada program EKSA Jabatan Bendahari bagi tahun 2024.

Program yang diadakan ini bertujuan untuk memindahkan Dokumen Kewangan Tahun 2022 ke Setor Fail Utama (setor bawah tanah) bagi membolehkan Dokumen Kewangan Tahun 2023 dipindahkan ke Setor Fail yang berada di Tingkat Dua.  

Proses pemindahan dokumen dari setor ke setor telah menjadi acara tahunan Jabatan Bendahari disebabkan ruang pejabat yang terhad dan keperluan menyediakan ruang kosong bagi  menempatkan dokumen tahun semasa (2024) di Setor Fail Tingkat Tiga. 

Statistik dan perkiraan yang tepat diperlukan bagi memastikan fail-fail yang telah dijilidkan ini dipindahkan dengan penuh sistematik di samping memastikan fail-fail disusun semula di rak baharu secara teratur bagi memudahkan proses pencarian dokumen apabila diperlukan kelak.   Tempoh simpanan dokumen kewangan ialah tujuh (7) tahun sebelum boleh dilupuskan.

Keistimewaan program sebegini dapat dilihat semua kakitangan di Jabatan Bendahari tanpa mengira pangkat dan gred jawatan sama-sama berganding bahu untuk memindahkan dokumen dengan cara beratur dan menyambut dokumen disepanjang barisan hingga ke tangga bangunan bermula dari tingkat tiga sehinggalah ke setor destinasi.   Turut serta di dalam Program kali ini ialah staf e-management yang ditempatkan di Jabatan Bendahari.  Program ini telah memberi satu pengalaman baru kepada mereka dan menyaksikan betapa banyaknya dokumen kewangan yang perlu dipindahkan setiap tahun.

-Habis-