Brisk Walk Jabatan Bendahari - 10000 Langkah Menikmati Keindahan Kampus Sempena Tahun Melawat UUM 2024

briskwalk.png

SINTOK 6 Februari – 30 orang staf Bendahari berjaya mencatat 10 ribu langkah sempena aktiviti ‘Brisk Walk’ sekitar tempat-tempat menarik di dalam kampus pagi tadi. Program anjuran Kelab Kebajikan dan Rekreasi Jabatan Bendahari (KKRB) UUM ini dibuat sebagai aktiviti santai untuk memastikan kakitangan mengekalkan aktiviti sihat bagi mengimbangi kesibukan kerja hakiki.

Aktiviti dimulakan dengan taklimat program oleh Pengarah Projek, Amirul Afif Rosli dan diikuti dengan bacaan doa oleh Mohammad Syafiq Sobri. Peserta dibawa melalui zon-zon akademik antaranya Pusat Pengajian Perniagaan (SBM), Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM), Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP), Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC), Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) dan Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS).

Di antara tempat menarik yang dilawati ialah Rumah Kaktus yang terletak di Taman Botani, Tasik Sintok atau lebih dikenali ‘Hidden Lake UUM' dan Lapang Sasar UUM.  Peserta kemudian singgah di Café Alumni Junction sebelum meneruskan perjalanan kembali ke Pejabat di Bangunan Canselori Sultan Sallehuddin.

Mohd Nizam Izham,Penolong Akauntan di Unit Gaji berkata, sepanjang perkhidmatan beliau selama 20 tahun, inilah pertama kali beliau melawat Rumah Kaktus dan Taman Botani.  Sementara itu, Huzaifa Ramli yang baru berkhidmat di Jabatan Bendahari kurang dua tahun,  berasa amat teruja dengan keindahan kampus dan ini merupakan peluang yang dinanti-nantikan memandangkan di hari-hari biasa beliau tidak mempunyai kesempatan untuk meneroka keindahan UUM.

Tahun 2024 ini merupakan ulangtahun penubuhan UUM yang ke 40 tahun dan pihak universiti menjadikan tahun ini sebagai Tahun Melawat UUM.

-Habis-